0

Bunga Putih Untuk Ayah

Sunday 20 March 2011

   Bunga Putih untuk ayah. Jumaat 27 August 2011 bersamaan 27 Ramadhan merupakan antara hari yang pasti sukar untuk aku lupakan kelak. Hari yang membawa pergi ayah dari hidupku. Bila aku ingatkan semula, semuanya terlalu pantas berlaku. Ayah rasa tak sedap badan dalam jam 8.30 malam. Jam 9 lebih kami hantar dia ke hospital, namun sejurus tiba berita yang paling tidak aku jangka dan yang selalunya cuma aku lihat di kaca tv dan ku baca dinovel-novel melayu aku terima. "Minta maaf cik, dia sudah tidak dapat diselamatkan lagi". Aku terduduk disitu juga, tidak ku hiraukan mata-mata yang memandang, apa yang terbayang cuma aku tidak akan mampu mendegar suaranya, menatap wajahnya mahupun memeluk ayahku lagi. Mak bagaikan terpaku, dia sendiri bagaikan tidak tahu apa harus dilakukan, kebingungan dengan berita yang diterima.

  Aku sedar sebagai anak tunggal aku harus memainkan peranan yang sangat penting. Aku harus kuat menghadapinya kerana, jika aku rebah maka mak juga akan rebah dan hilang dalam kesedihan ini. Dan aku jugalah yang menghubungi sanak saudara menyampaikan berita ini. Aku sedar ayah telah lama sakit, dengan masalah kedua-dua buah pinggangnya yang gagal berfungsi dan perlbagai komplikasi lain telah membawa ayah pergi dari kami.

  Apa yang membuat aku terkilan adalah kerana masih banyak yang ingin aku katakan dengan arwah. Belum sempat aku memohon maaf atas semua dosa-dosa ku, mendengar kata-kata nasihatnya ataupun cuma memandang nya sewaktu lena tidur. Semua itu tidak akan dapat aku lakukan lagi. Kerana apa yang tertinggal untuk pandang hanyalan nisan tempat persemadian ayah tercinta.

  Biarlah aku jadikan blog ini tempat untuk aku meluahkan hati dan perasaan. Kerana ada sesetengah perkara yang aku tidak pasti harus diluahkan pada siapa. Pada ayah tercinta, tidak banyak mampu aku lakukan. Hanya doa dan al-Fatihah untukmu ayah.~~amin~~~